PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh berkata rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan mungkin dibuat sebelum hujung tahun ini.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika menyantuni seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menunggunya bersama pengamal media, selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4, Putrajaya.
Kenyataan Perdana Menteri itu dibuat selepas kanak-kanak terbabit, Akmal Afif Yasser Arafat, mengulangi soalan yang diutarakan pengamal media mengenai rombakan Jemaah Menteri.
Terdahulu, Akmal Afif, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Presint 8 (2) bersama lapan rakannya menantikan Anwar untuk mendapatkan tandatangan daripada Perdana Menteri.
Perdana Menteri sebelum itu menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di surau berkenaan.
Turut hadir menunaikan solat bersama Perdana Menteri ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Nai’im Mokhtar.
Beliau turut meluangkan masa kira-kira setengah jam menjamu selera di perkarangan surau dan beramah mesra dengan jemaah.
Khabar berkaitan rombakan Kabinet mula bertiup sejak Mei apabila Anwar ditanya mengenai kemungkinan berlaku perubahan barisan kepimpinan selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Pada Oktober, rombakan Kabinet kembali diperkatakan susulan kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
Dalam setiap pertemuan bersama media, Perdana Menteri tidak menolak dan tidak mengesahkan sebarang keputusan untuk melakukan rombakan Kabinet yang diketuainya.
Kali terakhir Anwar memberi reaksi kepada media mengenai hal yang sama adalah pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani, di sini, pada Khamis.