KUALA LUMPUR – Sibuk dengan tugasan mentadbir negara bukan alasan buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak memperingati hari ulang tahun isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-71 itu menerima ucapan istimewa menerusi hantaran di media sosial Perdana Menteri.
“Ulang tahun kelahiran buat nona tercinta @drwanazizah. Semoga cinta ini terus kekal dan terus menjadi tiang seri kepada anak-anak dan cucu.
“Perjuangan masih panjang tatkala kita sedang berusaha sebaik mungkin menterjemah fikrah madani dengan memantapkan ekonomi dan memperkasa rakyat.
“Semangat dan daya juangmu mesti terus membakar demi anak bangsa,” memetik hantaran di akaun Facebook Perdana Menteri pada Ahad.
Menerusi hantaran tersebut juga, Anwar dilihat memuat naik gambar kenangan bersama Dr Wan Azizah ketika menghadiri sebuah acara sebelum ini.
Sebelum Anwar mula menerajui negara, Dr Wan Azizah juga pernah menjadi individu kedua terpenting dalam pentadbiran negara apabila memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Pasangan ini berkahwin pada 26 Februari 1980 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha, Ehsan, Nurul Iman, Nurul Ilham, dan Nurul Hana.