Saturday, 11, May, 2024
Utama Nasional Skandal 1MDB, Malaysia mungkin saman Goldman Sachs

Skandal 1MDB, Malaysia mungkin saman Goldman Sachs

oleh admin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Malaysia mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs atas pembabitannya dalam skandal rasuah berbilion dolar membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu mencapai penyelesaian dengan Malaysia pada 2020 selepas bersetuju membayar AS$2.5 bilion (RM11.6 bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset berjumlah AS$1.4 bilion (RM6.5 bilion), manakala kerajaan menggugurkan semua pertuduhan jenayah terhadap Goldman.

Bagaimanapun, Perdana Menteri awal tahun ini menyatakan bahawa Malaysia sedang meneliti semula perjanjian penyelesaian itu kerana jumlah yang dipersetujui terlalu kecil.

“Saya tidak menolak kemungkinan pelaksanaan prosiding semula menerusi tindakan undang-undang,” katanya dalam temu bual dengan CNBC yang disiarkan hari ini menerusi laporan Bernama.

Mengulas lanjut, Anwar juga memaklumkan Malaysia turut meneliti beberapa langkah lain, termasuk rundingan semula dengan bank berkenaan.

Goldman tidak memberi maklum balas ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, namun bank AS itu sebelum ini beberapa kali menafikan berlaku salah laku daripada pihaknya dalam kes 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion (RM20.9 bilion) dicuri daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014, dalam komplot yang membabitkan pihak tertinggi dalam kerajaan dan pengurusan bank di Malaysia dan beberapa negara lain.

Menurut Jabatan Keadilan AS, Goldman membantu 1MDB meraih AS$6.5 bilion (RM30.2 bilion) menerusi dua tawaran bon, dengan bank itu memperoleh bayaran AS$600 juta (RM2.8 bilion).

Menerusi perjanjian penyelesaian pada 2020, Goldman turut perlu membuat bayaran interim berjumlah AS$250 juta (RM1.16 bilion) jika kerajaan Malaysia tidak menerima aset dan hasil bernilai sekurang-kurangnya AS$500 juta (RM2.3 bilion) menjelang Ogos 2022, kata bank itu sebelum ini.

Menurut Goldman, bank itu dan kerajaan Malaysia bercanggah pendapat mengenai sama ada Malaysia memperoleh sekurang-kurangnya AS$500 juta setakat Ogos 2022 dan sama ada terdapat tunggakan bayaran interim.

Jelasnya, pertikaian itu perlu diselesaikan menerusi penimbangtaraan jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com