KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan adalah tidak adil untuk menggugurkan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet dengan penilaian yang dibuat dalam tempoh setahun.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, menteri atau timbalan menteri harus diberi peluang memperbaiki prestasi mereka termasuk beliau sendiri.
Malah, Anwar yang juga Menteri Kewangan seperti memberi gambaran keperluan untuk menambah portfolio dalam barisan Kabinetnya.
“Saya fikir tidak lama lagi (rombakan) dan saya telah bagi tau seorang anak kecil yang bagi nasihat depan masjid dan saya setuju tetapi saya tidak pikir setelah satu tahun membuat penilaian yang adil…orang perintah 10 tahun, tiga tahun.
“Satu tahun terlalu awal. Menteri-menteri harus diberi peluang memperbaiki dan meningkatkan prestasi mereka termasuk perdana menteri juga.
“Kalau ada sedikit penyesuaian pengalaman kita satu tahun kita akan lakukan termasuk menambah (portfolio) sekiranya perlu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, rombakan Kabinet perlu jika prestasi menteri itu meleset atau keadaan yang menuntut.
Bagaimanapun katanya, ia memerlukan rundingan daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Rundingan harus diadakan dan melihat kepada kekuatan parti-parti itu perlu diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI, RTM dan TV3 pada Selasa.