Thursday, 2, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan pertimbang beri bantuan tunai bulanan

Kerajaan pertimbang beri bantuan tunai bulanan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Bantuan tunai khas secara bulanan akan dipertimbangkan kepada isi rumah miskin tegar yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur atau kesihatan.

Perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar.

Menurut beliau, pemberian bantuan itu demi melepasi pendapatan garis kemiskinan (PGK) makanan bagi golongan itu.

Beliau berkata, semua agensi dan kementerian diminta menyemak dan mengemas kini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan di bawah PGK makanan dalam tahun ini.

“Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan di dalam program-program yang ditawarkan mengikut kesesuaian,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha dan program-program dalam usaha membasmi miskin tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman dan pemberian modal perniagaan.

Jelasnya, ini termasuk latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan dan usaha-usaha ini telah pun dilaksanakan pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belengu miskin tegar.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, perkembangan mata wang ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Jelasnya, prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran, terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama dan faktor geopolitik.

Menurut beliau, usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur, termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuhkan daya saing Malaysia.

“Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan.

“Bank Negara Malaysia komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com