KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mandat kepada Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), dalam menerajui ikhtiar pemikiran baharu masyarakat Melayu.
Ke arah itu, Anwar berkata dukungan penuh diberikan terhadap agenda Gerakan Alumni UiTM Turun Masyarakat (GEMA) yang akan dilaksanakan PAUiTM, khususnya terkait pendidikan dan pembangunan ekonomi anak bangsa.
Perkara itu dinyatakan beliau menerusi catatan di media sosial hari ini, selepas menerima kunjungan PAUiTM di pejabatnya semalam.
Anwar berkata beliau menghargai usaha dan peranan yang dimainkan Alumni UiTM khususnya dalam agenda pembangunan masyarakat Melayu dan Bumiputera.
“Saya berbangga melihat hasil usaha UiTM sejak penubuhannya yang telah melahirkan lebih 700,000 alumni di seluruh negara sehingga kini.
Ini hasil usaha kejuruteraan sosial yang telah mengubah landskap pembangunan negara,” katanya.