Sunday, 28, April, 2024
Utama Nasional Apa pun keputusan UNSC, serangan di Palestin harus dihentikan – PM

Apa pun keputusan UNSC, serangan di Palestin harus dihentikan – PM

oleh Ammar Haziq

DENGKIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak peduli dengan keputusan Persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) yang gagal mencapai kata putus berhubung perang Israel-Palestin.

Sebaliknya, beliau memberitahu, Malaysia akan terus kekal dengan pendirian supaya serangan di Palestin mesti dihentikan selain bantuan kemanusiaan disalurkan segera.

“Kita tidak peduli apa keputusan lain, tetapi hak rakyat Palestin mesti diberi, soal tanah, harta dan maruah mereka mesti diberi keutamaan.

“Tetapi yang mesti disegerakan ialah hentikan serangan dan salurkan bantuan kemanusiaan yang juga menjadi keutamaan kepada negara Islam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat di Masjid As-Shariff, Kampung Dato Ahmad Razali, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab serta mengadakan rundingan setiap hari untuk perkembangan semasa.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menghentikan serangan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan. Itu keutamaan kita (Malaysia) sekarang.

“Apa yang penting, soal bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan perlu disegerakan. Dalam masa sama, Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sissi juga memberi jaminan untuk menyegerakan pendaratan bantuan di sempadan Rafah–Palestin,” ujarnya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada Malaysia akan memboikot Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama OIC dan Liga Arab, Anwar berkata: “Malaysia buat masa ini memihak kepada dua badan itu, malah rundingan perkembangan mengenai isu Palestin dilakukan setiap hari.

“Kami sepakat bahawa peperangan ini segera dihentikan. Itu keutamaan negara-negara Islam.”

Sebelum ini, UNSC sekali lagi gagal mencapai keputusan berhubung perang Palestin-Israel ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Rusia dan China menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Amerika Syarikat (AS) yang mengusulkan supaya perang dihentikan seketika bagi membolehkan penyaluran bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik dan perlindungan ke atas penduduk.

PBB melaporkan bahawa kegagalan itu disebabkan usul berkenaan tidak mendapat sokongan sekurang-kurangnya sembilan negara anggota UNSC.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com