SINTOK – Seorang pelajar semester kelima Program Doktor Falsafah (PhD) Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Palestin telah meninggal dunia akibat serangan askar Israel di Semenanjung Gaza, beberapa hari lalu.
Universiti tersebut memaklumkan berita kematian pelajar ITU, Esam M. M Elkahlout, 3 disifatkan sebagai syahid disahkan pada Sabtu.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan mengajak semua warga UUM dan rakyat negara ini terus berdoa agar peperangan di Palestin dapat dinoktahkan segera.
Jelasnya, seluruh dunia wajar memberi peluang untuk penduduk Palestin dapat meneruskan pendidikan mereka ke peringkat lebih tinggi.
“UUM terus membantu warga Palestin untuk memberikan pendidikan dengan yuran yang sama dengan penduduk negara ini, malah pelbagai bentuk bantuan turut dihulurkan kepada mereka,” katanya yang mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.
Timbalan Dekan yang menjalankan fungsi Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, Prof Dr Harlida Abdul Wahab berkata, pihaknya mendapat berita berkenaan pada malam Sabtu dan sedang menunggu lagi maklumat lanjut berkenaan pelajar itu.