Sunday, 14, July, 2024
Utama Negeri Maritim Kuala Kedah tahan tiga vesel gentian kaca langgar syarat sah lesen

Maritim Kuala Kedah tahan tiga vesel gentian kaca langgar syarat sah lesen

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menahan tiga buah vesel gentian kaca yang dipercayai menggunakan peralatan menangguk siput yang tidak dibenarkan dalam satu rondaan rutin OP AMAN dan OP TIRIS 3.0 di kedudukan 3.0 batu nautika muara Kuala Kedah pada pukul 9.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, tiga buah vesel bersama 10 orang kru nelayan tempatan berkenaan ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangguk siput dengan menggunakan peralatan sangkar besi yang tidak dibenarkan.

Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga bot berkenaan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan kesalahan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua bot, enjin beserta hasil tangkapan seberat 210 kilogram dianggarkan bernilai hampir RM300 ribu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com