BALING – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling mengambil masa satu jam untuk menangkap seekor ular sawa panjang 5.5 meter dan berat 90 kilogram (kg) yang kekenyangan selepas menelan seekor anak lembu di Kampung Weng Dalam, di sini pada Selasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.45 tengah hari tadi sebelum lapan anggotanya ke lokasi bagi menangkap ular berkenaan.
“Kehadiran ular itu disedari seorang penduduk, Mohd Khatib Ismail, 59, yang ternampak objek panjang di tengah kawasan kebun getah di situ.
“Dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada rakannya yang juga penoreh getah sebelum penduduk kampung yang juga pemilik lembu memaklumkan anak lembu peliharaannya hilang.
“Pemilik lembu terbabit kemudian menghubungi APM dan memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Faizol berkata, anggota APM juga terpaksa mengangkat ular sawa itu ke atas lori kerana berat dengan dibantu penduduk kampung untuk membawanya ke pejabat APM.
Beliau berkata, reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
“APM menasihatkan orang awam supaya menjaga persekitaran rumah bagi mengelakkan kehadiran reptilia berkenaan,” katanya.