Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri 11 motosikal, lima kereta musnah dalam kebakaran dua bengkel

11 motosikal, lima kereta musnah dalam kebakaran dua bengkel

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Sebanyak 11 buah motosikal dan lima buah kereta musnah terbakar di Taman Keladi, di sini, pada awal pagi isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I, Ismail Mohd Zain berkata, panggilan kecemasan diterima Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Penyelamat Kedah pada jam 5,23 pagi memaklumkan bahawa terdapat kebakaran bengkel kereta.

PGO kemudian mengarahkan jentera bersama ‘water tanker’, EMRS BBP Sungai Petani dan Pasukan Bantuan BBP Amanjaya ke lokasi kejadian.

“Pasukan tiba di lokasi mendapati terdapat kebakaran bengkel kereta dan motosikal. Anggaran keluasan kawasan terbakar ialah 20 x 80 kaki persegi.

“Tindakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula, dua aliran 100 kaki dan dua pancutan dari jentera dan dibantu pasukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan pada isnin.

Jelas Ismail, kebakaran dapat dikawal pada jam 5:45 pagi yang melibatkan dua buah bengkel membaiki kenderaan kereta dan motorsikal.

Jelasnya, musibah tersebut telah memusnahkan 16 buah kenderaan iaitu lima buah kereta dan 11 buah motosikal.

“Operasi tamat pada jam 6.36 pagi dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com