Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Anwar tiba di Tokyo, mulakan lawatan kerja

Anwar tiba di Tokyo, mulakan lawatan kerja

oleh Ammar Haziq

TOKYO: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun sempena 50 tahun persahabatan dan kerjasama.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Antarabangsa Haneda pada jam 11.40 malam waktu tempatan.

Ketibaan Perdana Menteri oleh Timbalan Menteri Parlimen Hal Ehwal Luar Jepun, Hosaka Yasushi dan Duta Besar ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.

Turut serta dalam lawatan kerja tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Ini merupakan lawatan kerja pertama Anwar ke Jepun sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Lawatan kerja Perdana Menteri pada kali ini adalah bagi memenuhi undangan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa semasa lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya.

Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kedudukan hubungan dua hala Malaysia-Jepun dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua Perdana Menteri juga dijangka mengumumkan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Anwar juga dijadual bertemu dengan beberapa tokoh industri serta diaspora Malaysia di Tokyo.

Sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Jepun dan kedua-dua pihak akan menyemak semula kedudukan hubungan serta membincangkan usaha ke arah meningkatkan perkongsian, termasuk mengenal pasti bidang kerjasama baharu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com