Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Wanita lumpuh, keluarga terpaksa catu makanan

Wanita lumpuh, keluarga terpaksa catu makanan

Akhilah Ahmad, 47 lumpuh sejak 15 tahun lalu akibat penyakit artritis reumatoid manakala suami mengidap penyakit jantung pada Julai lalu.

oleh Ammar Haziq

GURUN – Seorang wanita lumpuh dan keluarganya di Kampung Batu Lapan, di sini terpaksa mencatu makanan akibat kesempitan hidup yang dialami mereka.

Akhilah Ahmad, 47 lumpuh sejak 15 tahun lalu akibat penyakit artritis reumatoid yang menjejaskan hampir keseluruhan sendi badannya.

Lebih malang, suaminya, Mohd Zaidi Desa, 46, pula disahkan mengidap penyakit jantung pada Julai lalu menyebabkan dirinya tidak mampu bekerja berat.

“Saya disahkan mengidap penyakit ini selepas 50 hari melahirkan anak kedua kami, sejak itu saya terlantar kerana penyakit ini menjejaskan tulang belakang saya dan hampir semua sendi di badan.

“Anak saya yang sulung Nur Adira,20, tidak bekerja kerana perlu menjaga saya sepenuh masa, anak bongsu saya Muhammad Haikal, 15, pula masih bersekolah.

“Pendapatan suami saya memang tidak mencukupi, kami terpaksa catu makanan dengan hanya makan nasi sehari sekali dan makan nestum bagi menbolehkan perut kami kenyang lebih lama,” kata Akhilah.

Menurutnya, suaminya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah antara RM35 hingga RM50 sehari.

Jelasnya, biarpun dia memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) masing-masing sebanyak RM300 namun wang itu tidak mencukupi kerana perlu membeli lampin pakai buang dan susu khas yang berharga RM150 satu tin.

“Susu khas itu hanya dapat bertahan beberapa hari dan dia memerlukan dua tin susu untuk seminggu.

“Saya memang terpaksa mengharapkan ihsan saudara mara dan rakan-rakan, mereka sudah banyak membantu, namun kadang-kadang saya rasa malu untuk meminta sehingga ada waktunya kami terputus bekalan makanan,” katanya lagi.

Akibat kesempitan hidup, mereka tidak dapat membaiki keadaan rumah yang sangat uzur menyebabkan mereka terdedah kepada haiwan berbisa dan pencuri.

Sebelum ini terdapat seekor ular tedung selar masuk melalui tingkap tidak bercermin di tepi katilnya.

“Saya hanya mampu melihat, tak mampu bergerak, saya cuma minta suami saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu menangkap ular berkenaan.

“Jarak saya dengan ular tak sampai satu meter, hanya kucing yang setia temani saya ketika itu bagi menghalang ular itu dekat dengan saya, saya betul-betul tawakal kepada Allah,” katanya.

Akhilah berkata lantai dan dinding rumah sudah banyak reput dimakan anai-anak malah ada lantai yang sudah berlubang selain atap sudah banyak yang bocor.

Katanya terdapat bahagian rumah yang dibina baharu dua tahun lalu dengan bantuan kenalan di kampung namun tidak dapat disiapkan kerana faktor kewangan.

“Sekarang suami saya juga terpaksa membuat pemeriksaan doktor di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) secara berkala, 10 Ogos lalu apabila suami dimasukkan ke wad selama seminggu kerana serangan jantung, kami tak mampu bayar bil hospital.

“Abang Ad (Azhar Ali, 48) yang banyak membantu kami sekeluarga, dia yang menjemput suami saya di hospital dan tolong bayar bil selepas dikurangkan doktor.

“Saya fikirkan nasib anak-anak saya, mereka juga perlu ada kehidupan sendiri satu hari nanti, dengan keadaan saya dan rumah kami yang daif, macam-macam boleh berlaku,” katanya yang hanya mampu menggerakan kepala dan mengangkat tangan dengan kadar minimum.

Bagi yang ingin membantu, Akhilah dan keluarga dia boleh dihubungi menerusi nombor 0194280443 atau menyalurkan bantuan ke akaun BSN (0212 5410 0002 7153).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com