Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata amalan rundingan terus melalui perolehan kerajaan akan dihalang sama sekali.
Katanya, amalan berkenaan yang sudah diamalkan sekian lama sebenarnya memberi ruang yang lebih besar bagi penyalahgunaan kuasa.
“Amalan yang pada hemat saya dari dulu menyaksikan suatu bentuk rompakan penyalahgunaan kuasa, yang mudah untuk beri diberi ruang.
“Sang penguasa seperti Menteri Kewangan, senang dengan prinsip rundingan terus, tapi dia akan beri ruang yang lebih luas bagi sang penguasa untuk menetapkan (harga).
“Ini pernah berlaku, secara meluas dan membataskan bidang kuasa jawatankuasa teknikal dan sebagainya, dan amalan rundingan terus perlu dihalang dan akan melalui proses perolehan tender,” katanya lagi.
Namun menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, proses rundingan terus boleh dilakukan melalui beberapa pengecualian yang mendesak.
Beliau memberi contoh bagaimana krisis elektrik di Labuan dipulihkan melalui perolehan rundingan terus oleh Petronas.
Anwar berkata demikian semasa hadir di perhimpunan warga Kementerian Kewangan di, Persiaran Perdana, Putrajaya.