Thursday, 21, November, 2024
Utama Nasional Tanggungjawab moral ahli politik, pesara pilih satu pencen

Tanggungjawab moral ahli politik, pesara pilih satu pencen

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ahli politik atau pekerja kerajaan yang menerima beberapa pencen mungkin boleh memenuhi tanggungjawab moral mereka untuk memilih hanya satu pencen sahaja dan menolak yang lain.

Beliau berkata ini memandangkan terdapat bekas menteri, menteri besar dan pegawai kerajaan yang menerima tiga hingga empat pencen.

“Cuma dari segi moral, orang yang dapat gaji menteri, menteri besar atau pekerja jabatan kerajaan yang dapat tiga empat pencen, mungkin melihat keadaan ini, memenuhi tanggungjawab moral dia untuk menolak pencen yang lain dan memilih satu, terserah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan, memandangkan bayaran itu sebenarnya sumbangan kerajaan kepada mereka yang menjadi wakil rakyat atau disebut gratuity (ganjaran).

Mubarak turut meminta agar skim pencen penjawat awam diteruskan.

Anwar berkata sebarang langkah dan cadangan untuk memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan kita membatalkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini. Yang kita nak mulakan ialah peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan-jawatan baharu.

“Ini termasuklah jawatan politik, itu cadangan kita yang kita akan bentang di Jemaah Menteri dan di Parlimen kerana melibatkan beberapa pindaan undang-undang. Jadi tidak boleh batalkan sedia ada kerana ia sudah terikat dengan perjanjian dan juga jaminan Perlembagaan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com