IPOH: Menteri-menteri bukan Melayu akan dilibatkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang dijadual berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan itu adalah pendekatan baharu dilakukan di bawah Kerajaan Madani agar isu ekonomi ditangani secara bersama merentas etnik dan kaum.
“Agenda membantu bumiputera ini ada kesan dan kelainan yang unik. Jadi saya mahu dengan Malaysia baru ini, masalah India dan Cina adalah masalah kita. Begitu juga masalah Iban, Dayak dan masalah bumiputera menjadi masalah kaum lain di Malaysia.
“Ia mesti ditangani dengan bijaksana dan dijadikan agenda bersama dengan menekankan beberapa pendekatan baru,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Anwar meyakini, penglibatan semua kaum dalam menentukan sesuatu hala tuju dan pendekatan akan membawa kepada penyelesaian yang lebih baik berbanding kongres sebelum ini.
Justeru katanya, pendekatan itu harus diterima secara berani oleh BN dan PH terutama UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili parti Melayu.
“Ini naratif baru bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dibangkitkan,” katanya.
Media melaporkan, KEB yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu akan menumpukan 10 kluster utama anyaranya reformasi pendidikan dan modal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi bumiputera Sabah, ekonomi bumiputera Sarawak dan penguasaan teknologi baharu.