ALOR SETAR – Seorang suami sempat menghulurkan tangan bagi menyelamatkan isteri dan anak sebelum dia meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandu dihempap sebatang pokok yang terbakar di Jalan Hutan Kampung, di sini pada Selasa.
Mangsa, Mohd Robbil Adam Mohd Rizal, 27 bersama isteri, Nurhafizah Ahmad Zamri, 25, berada dalam kereta bersama kakak dan anak saudaranya sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dalam kejadian jam 1.15 petang itu.
Menurut Nurhafizah, dia ternampak sebatang pokok terbakar dan mengeluarkan kepulan asap tiba-tiba tumbang lalu menghempap kenderaan dinaiki mereka tanpa sempat memberitahu suaminya.
“Saya sedih dan masih tidak dapat melupakan tindakan arwah suami dengan mnghulurkan tangan kirinya yang tetap mahu melindungi saya dan anak berusia lapan bulan ketika nampak sebatang pokok yang terbakar mahu tumbang ke arah kereta.
“Suami sempat melindungi saya dan bayi perempuan kami, Hawa Raisya Aulia dengan sebelah tangannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Selasa.
Katanya, kereta dipandu suaminya itu kemudian terbabas lalu melanggar sebuah kereta lain.
“Saya peluk anak kuat-kuat dan terus bawa anak keluar sebaik kereta berhenti, namun suami sudah tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya lagi.
Dalam kemalangan tersebut, dia hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada tangan, manakala bayi serta kakak dan anak perempuanya tidak cedera.
Sementara itu, katanya, arwah ada menunjukkan perubahan apabila kerap menyebut dia tidak akan dapat lagi berbual dengan saudara mara kerana mungkin akan pergi dahulu.
“Dia banyak kali cakap selepas ini tak boleh dah nak sembang dengan adik beradik dan saya tegur dia kenapa cakap macam itu, namun arwah hanya mendiamkan diri.
“Saya fikir arwah hanya bergurau, namun hari ini ternyata arwah pergi dahulu meninggalkan saya dan anak,” katanya.
Selain itu, katanya, anak tunggalnya juga meragam sejak kebelakangan ini dan hanya mahu dengan arwah.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.17 tengah hari tadi.
“Mangsa tidak tersepit dan anggota bomba memadam kebakaran pokok dan membantu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan mangsa,” katanya.