Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Anggota bomba bantuan cedera semasa padamkan kebakaran

Anggota bomba bantuan cedera semasa padamkan kebakaran

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seorang anggota bomba bantuan cedera ketika menjalankan operasi pemadaman membabitkan sebuah kedai motosikal di Kampung Tengah, Jalan Tualang, di sini pada Jumaat.

Anggota tersebut, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Muhammad Riyard Harris Ramlan, 20-an cedera pada jari kelingking tangan kiri dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan menaiki jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.29 pagi membabitkan sebuah rumah kedai kelas A di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Pokok Sena yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Shahrin Musa dan BBP Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran. Setibanya di lokasi didapati api sedang marak sehingga menyebabkan kemusnahan 90 peratus. Turut musnah 10 buah motosikal yang berada di dalam premis terbabit,” katanya pada Jumaat.

Bakar berkata, anggota PBB terbabit mengalami cedera di jari kelingking tangan kiri ketika cuba membuka pintu kedai berkenaan untuk memadam kebakaran.

Bagaimanapun katanya, dia kemudian dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di HSB.

“Kerja-kerja overhaul sedang dilakukan di lokasi kejadian setakat ini dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu. Bagaimanapun punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com