Saturday, 23, November, 2024
Utama Negeri UUM lakar sejarah tersenarai dalam laman sesawang KWSP

UUM lakar sejarah tersenarai dalam laman sesawang KWSP

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah tersendiri apabila tersenarai dalam laman sesawang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menggunakan E-Pengeluaran Pendidikan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM merupakan salah sebuah intitusi pengajian tinggi yang membolehkan pemohon menggunakan E-Pengeluaran Pendidikan bagi memudahkan pencarumnya mengeluarkan simpanan Akaun 2 KWSP untuk membayar yuran pengajian diri sendiri atau anak pencarum.

Menurutnya, dengan adanya E-Pengeluaran KWSP Pendidikan ini, ia adalah seiring dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi yang memfokuskan pendigitalan secara total dalam semua aspek termasuk aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatan.

Katanya, sehingga awal Februari 2024, sebanyak 1,400 permohonan telah diproses oleh pihak UUM dan KWSP. Ini adalah satu perkara yang membanggakan pihak UUM di dalam menyantuni ‘stakeholders’ yang terdiri daripada pelajar dan waris.

“Ini adalah hasil komitmen dan kerja kuat U-Assist bersama Jabatan Bendahari UUM dengan kerjasama KWSP dan ia berjaya direalisasikan bermula 10 Oktober tahun lalu,” katanya di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Di Antara KWSP dan UUM.

Majlis tersebut menyaksikan Naib Canselor UUM menandatangani MoU itu dengan Ketua Bahagian Pengurusan dan Pemasaran Produk, KWSP, Mohd Rodzi Abu Bakar di Balai Tamu, baru-baru ini.

Dr. Mohd Foad berkata, MoU yang ditandatangani ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan jaringan di antara pihak industri dan universiti.

Menurutnya, ia merupakan salah satu agenda penting di dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dan ia turut menjadi sebahagian dari Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penting dalam Teras 3 di dalam Pelan Strategik Universiti yang telah dipertanggungjawabkan kepada Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC).

Katanya, MoU yang akan ditandatangani pada hari ini merangkumi komitmen kedua-dua pihak untuk menjalin hubungan simbiotik yang akan memberi manfaat pihak industri, warga akademia, staf dan pelajar.

“Melalui kerjasama ini juga akan mewujudkan implikasi positif yang akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak seperti dari sudut pemindahan dan perkongsian pengetahuan, pembangunan bakat dan dari segi perkongsian antara kedua-dua pihak bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan memupuk inovasi dalam mengkomersialkan hasil penyelidikan, membangunkan produk dan perkhidmatan baru serta menyumbang kepada penciptaan pekerjaan.

“Saya berharap agar kerjasama seperti ini wajar diteruskan di masa hadapan agar sumbangan dari organisasi dapat dipelbagaikan untuk impak dan manfaat yang lebih besar dan signifikan kepada pelajar dan juga komuniti sekitar,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rodzi berkata, beliau berterima kasih kepada UUM kerana sudi menjalinkan kerjasama dengan KWSP bagi memeterai MoU itu.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa industri dan universiti mempunyai konsep dan idea yang berbeza.

Katanya, beberapa perbincangan strategik boleh dilaksanakan dengan terancang dan teliti agar kedua-dua pihak boleh meraih faedah bersama.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak UUM atas kerjasama strategik ini dan amat berharap agar jalinan kerjasama antara pihak KWSP dan UUM sentiasa utuh dan kekal,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni); yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dan Ketua Seksyen Partnership & Strategic Alliance, KWSP, Khadijah Yusof serta pegawai-pegawai universiti.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com