Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Jualan Rahmah catat lebih RM22 juta di Kedah tahun lalu

Jualan Rahmah catat lebih RM22 juta di Kedah tahun lalu

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan di 428 lokasi membabitkan 15 kawasan Parlimen dan 36 DUN di seluruh negeri Kedah sepanjang tahun 2023.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, program ini dapat dilihat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup warga Malaysia MADANI.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pengunjung melebihi 394,000 orang dan rekod jualan di negeri Kedah pula berjumlah melebihi RM22 juta.

“Program Jualan Rahmah ini merupakan kolaborasi bersama pemain industri sektor peruncitan seperti pasar raya dan hypermarket yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian di antara 10 peratus hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa setempat.

“Selain daripada Program Jualan Rahmah yang dijalankan di premis pasar raya, hypermarket dan kedai runcit, Jualan Rahmah Bergerak turut dijalankan dan tertumpu kepada kawasan kepadatan penduduk tinggi dan kawasan luar bandar.

“Bagi Jualan Rahmah Bergerak, kelebihan pelaksanaan ini lebih mobilisasi dengan konsep ‘Kedai Cari Rakyat’ dan mampu dilaksanakan di tempat berbeza pada hari yang sama,” katanya pada Selasa.

Tambah Muhammad Nizam, sepanjang tahun 2023, rekod jualan bagi Jualan Rahmah Bergerak di negeri Kedah melebihi RM17 juta dan jumlah keseluruhan pengunjung melebihi 200,000 orang untuk membantu masyarakat luar bandar memperolehi bekalan barangan keperluan asas dengan lebih mudah.

Menurutnya, KPDN akan terus mempergiatkan lagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah pada tahun 2024 untuk menggalakkan lebih ramai lagi pemain industri supaya dapat bersama-sama menjayakan aspirasi ini dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat di samping merancakkan kembali ekonomi sektor peruncitan.

“KPDN Negeri Kedah merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Program Jualan Rahmah ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Negeri Kedah di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com