Monday, 25, November, 2024
Utama Negeri Kadar Zakat fitrah 2024 di Kedah antara RM7 hingga RM22

Kadar Zakat fitrah 2024 di Kedah antara RM7 hingga RM22

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengumumkan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun 2024 iaitu RM7, RM14.50 dan RM22.

Pengerusi LZNK, Datuk Seri Norizan Khazali, berkata, kadar zakat fitrah tersebut selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Tuanku Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Menurutnya, penetapan harga zakat fitrah adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

“Kadar RM7 adalah bagi umat Islam di negeri Ini yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super spesial tempatan (lima peratus hancur) dan setaraf dengannya.

“Kadar kedua adalah RM14.50 bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

“Satu lagi adalah kadar RM22.00 bagi yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis basmathi, beras jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” katanya pada sidang akhbar di Menara Zakat LZNK, di sini pada Selasa.

Norizan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berkata, umat Islam digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi kebiasaan makanan setiap hari.

Walau bagaimanapun, sekiranya beras yang dimakan setiap hari adalah beras super spesial tempatan, namun individu tersebut mampu membayar lebih iaitu pada kadar RM14.50 atau RM 22.00, adalah digalakkan membayar fitrah pada kadar yang lebih baik.

“Sasaran Kutipan Zakat Fitrah Untuk tahun 2024, LZNK telah meletakkan sasaran kutipan zakat fitrah sebanyak RM12.65 juta berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM12.05 juta,” ujar beliau.

Tambahnya, LZNK menggalakkan pembayaran zakat secara dalam talian selain bayaran dibuat menerusi 2,707 amil yang dilantik di seluruh negeri.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com