Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Tiga nyaris maut dalam kebakaran rumah

Tiga nyaris maut dalam kebakaran rumah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Tiga individu sempat menyelamatkan diri apabila nyaris maut dalam kebakaran rumah di Tanjung Bendahara, di sini, pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata,ketiga-tiga mangsa termasuk dua warga emas hanya cedera ringan selepas berusaha keluar dari rumah mereka ketika api sedang marak.

Menurutnya, panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut diterima pada jam 12.01 tengah hari sebelum sepasukan anggota BBP Jalan Raja, BBP Alor Setar dan BBP Pendang digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera sejurus menerima maklumat kebakaran.

“Setiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan empat rumah dengan peratusan kebakaran masing-masing antara 80 hingga 95 peratus.

“Kebakaran turut menyebabkan seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun, wanita warga emas berusia 75 tahun dan pembantu rumah berusia 44 tahun cedera ringan,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ketiga-tiga mangsa kemudiannya telah diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Wan Azizul berkata, operasi dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya, PBS Jalan Kundur dan PBS Seberang Nyonya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, kebakaran kediaman terbabit berjaya dibendung pada jam 12.28 tengah hari dan tindakan pemadaman sepenuhnya sedang dilakukan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com