Sunday, 24, November, 2024
Utama Negeri PM saksikan tandatangan tiga MoU, MoA UUM dengan Universiti Uzbekistan

PM saksikan tandatangan tiga MoU, MoA UUM dengan Universiti Uzbekistan

oleh Ammar Haziq

UZBEKISTAN – Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia untuk mengukuhkan hubungan globalnya dengan menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan empat institusi pengajian tinggi ternama di Samarkand, Uzbekistan, pada Sabtu.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis penandatangan MoU dan MoA berkenaan di Uzbekistan.

Institusi pengajian tinggi berprestij di Uzbekistan yang menjalinkan kerjasama dengan UUM ialah Akademi Perbankan dan Kewangan (BFA), Universiti Oriental (OU), Universiti Pengurusan Kewangan dan Teknologi Antarabangsa Tashkent (TIFT), dan Universiti Ekonomi Negeri Tashkent (TSUE).

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan mewakili UUM pada majlis menandatangani perjanjian itu, manakala Rektor BFA, Dr Khoshimov Elmurod mewakili onstitusi berkenaan.

OU diwakili Rektornya, Prof. Murodjon Ubaydullaevich Akhmedov, TIFT diwakili Rektornya, Azizkhon Nodirov manakala TSUE diwakili Rektornya, Prof. Teshabayev To’lqin Zakirovich.

Pemeteraian memorandum ini menandakan satu peristiwa penting dalam mempromosikan kerjasama akademik, pertukaran dan perkongsian antara UUM dan institusi Uzbekistan yang dihormati.

Kerjasama antara Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) dan BFA bertujuan untuk membangunkan kehadiran sekolah perniagaan global yang teguh di Uzbekistan, mengutamakan peningkatan kualiti pendidikan dan kerjasama antarabangsa.

Melalui perkongsian ini, program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM) OYAGSB akan beralih kepada MBA Global BFA, menawarkan pelajar Uzbekistan akses kepada kurikulum yang diiktiraf tinggi dan pengalaman pembelajaran yang mendalam.

Kerjasama itu menyasarkan untuk meningkatkan standard pendidikan perniagaan dengan menyampaikan pengetahuan komprehensif dan kemahiran kepimpinan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com