Saturday, 27, July, 2024
Utama Negeri Sultan Kedah nasihat jemaah haji kekalkan disiplin tinggi

Sultan Kedah nasihat jemaah haji kekalkan disiplin tinggi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seramai 142 orang bakal jemaah haji daripada negeri Kedah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah pada Jumaat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijadualkan bertolak ke tanah suci pada penerbangan sewa khas haji pada malam hari yang sama.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, berkenan mencemar duli berangkat ke majlis mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan bakal haji tersebut. 

Turut hadir adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Pengurusan Kanan TH.

Baginda dalam titahnya menasihati kesemua para tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi segala arahan dan saranan daripada pihak TH.

“Umat Islam di Negeri Kedah harus bersyukur, kerana TH sentiasa mengambil berat akan kebajikan para jemaah haji, dengan menganjurkan pelbagai kursus, serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan dengan infrastruktur yang baik, bermula di tanah air sehinggalah ke tanah suci”, titah baginda.

“Para jemaah haji tidak perlu bimbang, ikhlaskan niat dan berlapang dada dalam melaksanakan ibadat haji dengan sempurna, selain mematuhi semua nasihat dan arahan yang diberikan oleh pihak TH”, tambah baginda lagi.

Sementara itu, Syed Hamadah menjelaskan penerbangan bakal-bakal haji Kedah merupakan penerbangan ke-25 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji yang disediakan untuk membawa seramai 31,600 orang bakal haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024M.

Seramai lebih 7,000 orang bakal haji negara kini telah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Beliau turut mengingatkan bakal-bakal haji untuk menjaga kesihatan diri sepanjang berada di tanah suci, di samping menuruti segala arahan pihak berkuasa Arab Saudi serta peraturan-peraturan yang digariskan TH bagi menjamin keselamatan jemaah dan melicinkan lagi proses mengerjakan ibadah haji.

“Anda semua merupakan wakil negara sepanjang berada di Tanah Suci seharusnya sentiasa mempertahankan budaya rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi serta menunjukkan imej dan identiti yang terbaik selaras dengan hasrat TH untuk menjadikan jemaah haji Malaysia sebagai model terbaik kepada jemaah negara Islam dan juga masyarakat antarabangsa”, kata beliau.

Penerbangan bakal haji dari Kedah ini akan bergabung dengan bakal haji dari Johor seramai 142 orang, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 284 orang.

Mereka akan berlepas daripada KLIA menaiki pesawat MH8082 yang dijadualkan pada jam 10.50 malam dan dijangka tiba di Madinah pada jam 2.35 pagi waktu Arab Saudi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com