Sunday, 8, September, 2024
Utama Negeri Pas Kedah pertahan dasar tutup premis  judi bawah kepimpinan Sanusi

Pas Kedah pertahan dasar tutup premis  judi bawah kepimpinan Sanusi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pas Kedah mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan premis dan kedai perjudian di Negeri Kedah bermula 1 Januari 2023 yang lalu.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya kesal dengan tindakan syarikat perjudian yang hanya memikirkan keuntungan sendiri sehingga mengenepikan kesan ketagihan judi yang telah merosakkan keharmonian dan keutuhan bermasyarakat dalam negeri ini.

Menurutnya, alasan yang dikemukakan syarikat judi tersebut bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbangkan kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar.

“Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. Bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot oleh operator premis judi berkenaan.

“Pas Kedah ingin menegaskan bahawa dasar Kedah Bebas Judi yang telah dilaksanakan dengan penutupan premis dan kedai perjudian di negeri ini adalah tindakan yang tepat oleh Kerajaan Negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perkara ini sememangnya berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan garis pemisah perundangan Kerajaan Negeri dan Kementerian Kewangan dalam hal ini juga jelas.

“Pas Kedah turut menyokong langkah Kerajaan Negeri (di bawah MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) untuk menggunakan jalan perundangan bagi mempertahankan keputusan yang dibuat itu.

“Perkara yang menjadi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya wajar sentiasa menjadi keutamaan bagi sesebuah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com