Sunday, 14, July, 2024
Utama Negeri Kru vesel nelayan tempatan terjun laut ketika kejar buru

Kru vesel nelayan tempatan terjun laut ketika kejar buru

oleh Ammar Haziq

KUALA KUAR – Seorang kru vesel nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke laut semasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan vesel nelayan tempatan berkenaan di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada pukul 9.50 malam Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0 telah mengesan vesel berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Rentetan itu, bot ronda Maritim Malaysia merapati vesel terbabit kerana mengesyaki vesel berkenaan sedang melakukan aktiviti menangguk siput.

Namun, vesel tersebut bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah perairan negeri Kedah setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Semasa aksi kejar buru, seorang kru vesel disyaki telah bertindak terjun ke laut setelah vesel berkenaan ditahan dan disoal siasat.

Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) berkenaan kejadian ini.

Susulan itu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan Operasi Carilamat dan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 telah ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut.

Usaha mengesan mangsa turut disertai oleh agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa vesel nelayan tempatan setempat.

Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan orang awam yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com