LANGKAWI – Hujan lebat berterusan dari jam 11.30 malam pada Khamis sehingga 12.50 tengahari pada Jumaat mengakibatkan kejadian kepala air di Air Terjun Telaga Tujuh pada Jumaat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md Yasin berkata, hujan mula berhenti pada jam 2 petang dan air surut sepenuhnya pada jam 2.40 petang.
Menurutnya, kejadian tersebut menyebabkan aliran air deras berlaku di kawasan parkir SkyCab di Oriental Village dan beberapa kenderaan mengalami kerosakan.
“Kejadian tidak melibatkan mangsa namun sebuah kereta jenis Almera dihanyutkan sebelum ditemui di dalam sungai.
“Kerosakan di kawasan yang terjejas masih dikenalpasti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, hujan lebat dan angin kuat pada waktu pagi dan disusuli hujan renyai pada tengahari menyebabkan berlaku kejadian Kepala air itu.
“Antara kemudahan yang terjejas ialah lima buah kiosk, lapan buah kedai di ‘food court’, lima kedai baju dan dua buah cafe.
“Namun belum ada laporan yang diterima polis setakat ini,” ujarnya.