Tuesday, 30, April, 2024
Utama Negeri Penunggang motosikal maut dalam kejadian langgar lari

Penunggang motosikal maut dalam kejadian langgar lari

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Seorang penunggang motosikal maut dan mengalami kecederaan parah di kepalanya selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari di Jalan Pangkalan Lebai Man – Sungai Petani, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 7.50 petang membabitkan kemalangan sebuah motosikal jenis Suzuki dan sebuah kenderaan yang tidak pasti.

Menurutnya, setakat ini identiti penunggang motosikal terbabit belum diketahui disebabkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila, motosikal terbabit sedang bergerak dari arah Taman Sri Wang menghala ke arah Kampung Raja dan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibat daripada itu, motosikal terbabit  bertembung dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti, dan sebaik pelanggaran pemandu kereta itu bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Zaidy, impak perlanggaran yang kuat menyebabkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayatnya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan bagi mengesan pemilik kenderaan yang melarikan diri terbabit.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com