Tuesday, 17, September, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Suspek bunuh isteri, dua anak disambung reman tujuh hari lagi

Suspek bunuh isteri, dua anak disambung reman tujuh hari lagi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Lelaki warganegara asing yang direman tujuh hari sebelum ini kerana disyaki membunuh isteri dan dua anaknya telah disambung reman selama tujuh hari lagi.

Majistret Nur Syifa binti Mohd Hamzah membenarkan permohonan reman oleh polis untuk menyambung reman bermula Isnin sehingga 2 September depan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki warga asing ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan isteri dan anak perempuannya ditemukan dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim pada 19 Ogos lalu.

Seorang lagi mangsa dipercayai berusia dua tahun yang dijumpai di Pantai Leman, Kuala Kedah disyaki anak bongsu suspek yang turut menjadi mangsa bunuhnya.

Perintah reman dikeluarkan bermula Selasa hingga 26 Ogos depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Terdahulu, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di sebuah Masjid di Bukit Pinang pada jam 9 malam pada hari kejadian.

Lelaki warganegara asing itu disyaki membunuh isteri dan dua anaknya dipercayai menghadapi tekanan emosi kerana mereka lima beranak hidup daif dan gelandangan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek juga positif amphethamine, methamphetamine dan mop.

Menurutnya, polis mengesahkan kes ini sebagai kes domestik dan tidak melibatkan jenayah terancang atau bersiri.

Suspek dipercayai membunuh tiga ahli keluarganya pada 18 Ogos lalu dan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selain membawa seorang lagi anak lelakinya berumur lima tahun yang tidak diapa-apakan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com