KUALA LUMPUR – Penganjur PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 (LTdL), Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini menerima berita gembira apabila Tourism Malaysia meneruskan Kerjasama Strategik dan menjadi pemegang jersi Polka Dot Raja Bukit untuk perlumbaan edisi ke-28 tahun ini.
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata, keputusan Tourism Malaysia meneruskan Kerjasama Strategik ini jelas membuktikan bahawa keputusan yang dibuat adalah keputusan yang tepat.
Menurutnya, kerjasama strategik ini telah memberikan pulangan besar kepada nilai promosi, penjenamaan dan pemasaran kepada pihak Tourism Malaysia.
“Tourism Malaysia akan diberikan penghomatan sekali lagi sebagai pemegang kepada jersi pendahulu “King Of The Mountain” di mana wakil mereka akan menyarungkan jersi pemenang di setiap peringkat perlumbaan” katanya ketika berucap di majlis pengumuman rasmi di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, En. Manoharan Periasamy.
Abdul Rashid turut mengulas, kategori Raja Bukit masih lagi kekal sebagai jersi pelumbaan yang sangat unik dan popular di kesemua perlumbaan utama dunia seperti Tour de France.
Jelasnya, Ia sangat unik bukan sahaja disebabkan kekuatan mutlak seorang pendaki untuk menguasai bukit yang paling tinggi, tetapi juga kebijaksanaan matematik pelumba di dalam mengutip peluang, meloloskan diri dari peloton untuk mencuri mata di zon-zon pendakian kecil selain dari pendakian utama.
“Ini jelas berlaku pada tahun 2023, apabila pelumba Simon Pellaud dari pasukan Tudor berjaya menawan jersi polka dot Tourism Malaysia, walaupun tewas kepada juara keseluruhan Simon Carr dari EF Education di pendakian utama di Genting Highlands.
“Cuma cabaran kali ini bertumpu di Cameron Highlands dan Simon Pellaud dari pasukan Tudor akan kembali mempertahankan gelaran beliau,” ujarnya.
Menurutnya, KBS dan MSN akan meneruskan kerjasama menerusi siaran langsung di penyiar sukan berbasikal nombor satu dunia, Eurosports yang ditonton ratusan juta peminat, selain siaran di televisyen tempatan dan platform media sosial Youtube, Facebook dan TikTok yang mampu membuahkan pulangan berlipat kali ganda daripada jumlah tajaan yang diberikan.
Beliau turut berkata, kesan viral daripada program sorakan kampung dan sekolah semasa perarakan cavalcade melalui platform Tiktok pada tahun 2023 akan turut diteruskan dan pastinya akan membawa jenama “Cuti-Cuti Malaysia” terus dekat di hati rakyat Malaysia untuk terus memilih destinasi percutian di dalam negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy berkata, keputusan untuk bekerjasama dengan Petronas LTdL 2023 pada musim lepas adalah keputusan yang sangat tepat, dan menjelaskan mengapa Kerjasama Strategik antara Tourism Malaysia dan MSN diteruskan untuk tahun 2024.
“Keputusan untuk menjalin kerjasama ini dibuat berdasarkan keseluruhan pakej pulangan (ROI) yang cukup lengkap, khususnya peluang untuk mempromosikan jenama ‘Malaysia Truly Asia’ ke seluruh dunia.
“Ini bukan sahaja merangkumi pelbagai tarikan budaya, lokasi, dan pusat pelancongan, tetapi juga menampilkan Malaysia sebagai negara yang makmur, maju, dan progresif dalam usaha membantu Kerajaan menarik minat pelaburan serta perdagangan antarabangsa ke negara kita.”
“Kami juga menghargai penghormatan yang diberikan oleh pihak penganjur sebagai Rakan Strategik dengan hak pemegang jersi polka dot kerana jersi pendahulu kategori Raja Bukit ini amat popular dalam mana-mana perlumbaan besar di seluruh dunia,” katanya.
Beliau menambah bahawa selain daripada Kerjasama Strategik ini, Tourism Malaysia akan turut membawa influencer terkenal dari Indonesia dan Thailand untuk mempromosikan LTdL dengan lebih kreatif dan meluas di negara-negara jiran tersebut.
Tourism Malaysia juga bekerjasama dengan enam agensi pelancongan yang menawarkan 23 pakej pelancongan khas bersempena LTdL 2024. Pakej-pakej ini meliputi destinasi pelancongan popular seperti Langkawi, Pulau Pinang, Melaka, Bukit Tinggi, Cameron Highlands, Kulai, Bintulu, dan Miri.
Melalui pakej ini, para pelancong bukan sahaja dapat menikmati percutian yang indah di lokasi-lokasi menarik, tetapi juga berpeluang menyaksikan secara langsung perlumbaan berprestij LTdL yang menjelajah seluruh negara.
Sebanyak 22 pasukan, iaitu tiga pasukan berstatus WorldTeam, tujuh pasukan ProTeam, sembilan pasukan Continental dan tiga pasukan kebangsaan termasuk Malaysia akan bertanding.