Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri Ajar isteri, ibu mengucap sebelum hembus nafas terakhir

Ajar isteri, ibu mengucap sebelum hembus nafas terakhir

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – “Saya bergegas keluar mencari isteri yang tercampak hampir 50 meter dari kereta dan menemuinya dalam keadaan sudah nyawa-nyawa ikan dan sangat nazak.

“Saya sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan saya.

“Kemudian saya pergi mendapatkan emak yang ketika itu dalam keadaan sangat nazak sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Mohd Fadzil Othman, 27, selepas kehilangan isteri, Siti Norhasliza Kamarudin, 26, dan ibunya Omi Kalsom Man, 69 yang maut kemalangan akibat mengelak seekor kera yang melintas di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, di sini pada Sabtu.

Menurut Mohd Fadzil, sebelum kemalangan, mereka sekeluarga baru saja selesai berkelah di Sungai Sedim sempena cuti umum Hari Kebangsaan.

Jelasnya, semasa tiba di lokasi kemalangan, dia ternampak seekor kera meluru pantas melintas jalan dan ketika itu dia cuba mengelak mengakibat kereta berpusing sebelum terbabas ke dalam longkang.

“Sejurus kemalangan saya terus keluar kereta mencari isteri, anak bongsu, dan ibu yang terpelanting keluar dari kereta,” katanya dengan nada sedih semasa ditemui di rumahnya, di sini.

Dalam kejadian tersebut, Mohd Fadzil mengalami cedera di tangan dan kaki sementara anak sulung, Luth Mikhael, 3, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anak bongsunya, Lufiya Mikhayla, 2, pula parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultanah Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

“Kami bertolak dari rumah pada jam 11 pagi malah sempat menikmati makan tengahari bersama.

“Isteri dan anak-anak kelihatan seronok ketika mandi di situ sebelum kami pulang pada jam 4 petang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com