Tuesday, 17, September, 2024
Utama Negeri Ibu dan menantu perempuan maut, kereta kemalangan elak kera

Ibu dan menantu perempuan maut, kereta kemalangan elak kera

oleh Ammar Haziq

BALING – Seorang ibu dan menantu perempuannya maut dalam kemalangan selepas kenderaan yang dinaiki terlibat kemalangan dan dipercayai cuba mengelak kera melintas di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau- Kuala Ketil, pada jam 6.12 petang, Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Charan Ai Wan berkata, mangsa Siti Norhasliza Kamarudin, 26, yang beralamat di F30 Kampung Haji Ngah, Bedong, dan ibu mentuanya, Omi Kalsom Man, 69, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal kemalangan mendapati kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suami mangsa, Mohd Fadzil Othman, 27, datang dari arah tempat rekreasi Sungai Sedim, Kulim menghala ke Bedong, Sungai Petani untuk pulang ke rumah.

“Semasa tiba di tempat kejadian, tiba-tiba seekor binatang yang dipercayai kera melintas dari kanan ke kiri jalan menyebabkan Mohd Fadzil cuba mengelak ke kiri jalan bagaimanapun hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabas di kawasan semak.

“Akibat daripada kemalangan tersebut ke dua-dua mangsa telah tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Charan berkata, semasa kejadian berlaku, isteri pemandu berada di bahagian penumpang hadapan manakala ibunya pula berada di bahagian belakang.

Menurutnya, dua anak mangsa iaitu Lufiya Mikayla Mohd Fadzil, 2 dan Lufh Mikhael Mohd Fadzil, 3, serta Mohd Fadzil telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com