Thursday, 19, September, 2024
Utama Sukan UUM bolot lapan emas SUKIPT 2024

UUM bolot lapan emas SUKIPT 2024

oleh Ammar Haziq

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencetuskan kejutan di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 dalam acara sukan golf apabila membolot kelapan-lapan emas.

Dalam empat hari pertarungan sengit yang berlangsung di Kelab Golf Sultan Sallehuddin UUM yang berakhir petang tadi, UUM meraih pingat emas bagi kategori individu gross lelaki, individu gross wanita, individu nett lelaki, individu nett wanita, berpasukan gross lelaki, berpasukan nett lelaki, berpasukan nett wanita dan berpasangan gross wanita.

Kemenangan itu meletakkan UUM dalam carta lima teratas IPT dalam pungutan emas dan perak pada hari keempat SUKIPT yang berlangsung di UUM berbanding pada kedudukan 36 pada hari ketiga.

Kesemua pemain golf UUM terdiri daripada pelajar Akademi Golf Nasional (AGN) UUM apabila UUM dianugerahkan Pusat Kecemerlangan Sukan dalam golf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang dalam acara golf petang tadi.

Pelajar AGN, Sharif Aimanuddin Sharif Zainal Abidin dengan handikap lapan mengumpulkan 208 mata dengan bermain pada hari pertama 67 pukulan, 71 pukulan (hari kedua) dan 70 pukulan hari ini telah melayakkan beliau dinobatkan pemenang pingat emas bagi kateori individu nett lelaki.

Tempat kedua pula dimenangi Muhammad Ikhmal Hakim dari UKM dengan bermain 212 pukulan, manakala tempat ketika dimenangi Muhammad Azahari Amir dari UUM dengan bermain 215 pukulan.

Bagi kategori individu nett wanita, pelajar AGN UUM, Nurul Ameera Najwa Zainuddin memenangi pingat emas dengan bermain 205 pukulan untuk tiga hari, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi pelajar Universiti Malaysia Pahang Sultan Ahmad (UMPSA), Myra Sofea Muhammad Sofee dan Lee Jia Huey.

Pengarah AGN UUM, Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman berkata, sumbangan emas dan perak oleh pelajar AGN dalam acara golf akan menjadi perangsang kepada kontinjen UUM dalam SUKIPT kali ini.

Menurutnya, dalam temasya SUKIPT dua tahun lalu, UUM hanya mendapat empat emas tetapi kali ini semua emas dimenangi oleh UUM.

“Kemenangan ini sangat manis kerana UUM menyambut ulang tahun ke-40 tahun dan membuktikan kepada KPT betapa pemilihan UUM sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Golf sangat bertepatan.

“Saya sendiri tidak menjangka UUM boleh memenangi semua emas dalam acara golf kerana pesaing daripada intitusi pendidikan tinggi lain tidak kurang hebatnya,” katanya.

Dalam kategori individu gross lelaki dan individu gross wanita, UUM memenangi semua pingat daripada emas, perak dan gangsa. Pemain individu gross lelaki diwakili Muhammad Farez Azihan memenangi emas, manakala Mohd Kall Danish (perak) dan Hariz Hezri (gangsa).

Pemain gross wanita pula diwakili Charlayne Chong Shin Ling memangi emas, manakala Valerie Vanessa Langkap (perak) dan Nur Maisara Saad (gangsa).

Bagi kategori kumpulan nett lelaki, pelajar UUM yang menyumbang emas diwakili Sharif Aimanuddin Sharif Zainal Abidin, Nathaniel Cheang Chun Ther, Muhammad Azahari Amir dan Wan Amirul Afiq Wan Rosni.

Bagi kategori nett wanita pula, pelajar UUM yang menyumbang emas ialah Murul Ameera Najwa Zainuddin, Nurul Adawiyah Abdul Jalil, Nur Aqeelah Najihah dan Nurul Fazlyana Mohd Azihan.

UUM turut mendapat emas bagi kategori gross lelaki yang diwakili Muhammad Farez Azihan, Mohd Kall Danish, Hariz Hezri dan Muhammad Muadz Mohd Nadzir, manakala emas untuk kategori gross wanita diwakili Charlayne Chong Shin Ling, Valerie Vanessa Langkap, Zaty Umairah Abdul Halim dan Nur Maisara Saad.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi, Tony Azman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com