Friday, 20, September, 2024
Utama Negeri Arwah Azraai Khor terima anugerah khas Maulidur Rasul

Arwah Azraai Khor terima anugerah khas Maulidur Rasul

oleh Ammar Haziq

ALLAHYARHAM MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH

Nama asalnya Khor Sek Leng. Anak kelahiran Kampung Nawa, Mukim Lesong, Pokok Sena, Kedah. Dilahirkan pada 25 Oktober 1952. Ayahnya bernama Khor Ah Kap (meninggal dunia semasa beliau berumur 6 bulan). Ibunya bernama Tan Kim Eng yang merupakan srikandi dalam hidupnya kerana dengan kudrat 4 kerat ibunyalah membesarkan dia tanpa ayah. Mereka hidup dalam keluarga yang dhaif dan serba kekurangan.

Beliau membesar di Kampung Alor Semadom, Alor Setar, Kedah. Anak yang ke 3 dari 5 beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Keat Hwa sehingga ke tingkatan 5. Beliau tidak dapat lagi meneruskan pelajaran kerana kekangan kewangan keluarga ditambah pula ramai lagi adik-adiknya yang masih belajar. Kini giliran tugas beliau pula mencari sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Beliau mula berminat dengan sukan bola sepak ketika berusia 17 tahun sehinggalah bergelar pemain bola sepak professional mewakili Pasukan Bola Sepak Kedah Darul Aman Ketika berusia 28 Tahun.

Memeluk Agama Islam pada tahun 2001 dan menggunakan nama Mohd Azraai Khor Abdullah. Mendirikan rumahtangga dengan Rohani binti Ibrahim dan mendapat 3 orang anak (seorang lelaki dan 2 orang perempuan).

Pernah bertugas sebagai kakitangan di Tenaga Nasional Berhad (TNB) Daerah Kulim. Kesungguhan dan minat beliau dalam bidang kejurulatihan, telah membawa beliau sehingga berjaya mendapat lesen jurulatih kelas A pada tahun 1990. Pada tahun 2004 beliau telah menyahut cabaran Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri bin Mohd Akil untuk melatih skuad Kedah Darul Aman dimana ketika itu beliau masih berkhidmat di TNB Kulim untuk mengendalikan Pasukan Bola Sepak Kedah Darul Aman.

Selepas bersara beliau mula terlibat secara aktif dalam arena bola sepak dan memegang berbagai jawatan dalam era kejurulatihan di Malaysia. Sehinggalah kemuncak kegemilangan dapat meletakkan Pasukan Bola Sepak Kedah memenangi kejayaan ‘Double Treble’ 2007 dan 2008. Malah di peringkat Antarabangsa, beliau mengendalikan pasukan Harimau Muda A pada tahun 2010 seterusnya pernah mengendalikan pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan.

Antara sumbangan terbesarnya ialah membantu Negeri Kedah menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2004, Naib Juara Kumpulan A Liga Premier 2005, Juara Liga Premier 2006, Juara Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia (Juara Treble 2007 dan 2008) bagi pasukan Negeri Kedah Darul Aman. Pada tahun 2007 beliau pernah dinobatkan sebagai Malaysian Favourite Coach (100-Plus FAM National Football Awards ) dan pada tahun 2008, Malaysian Best Coach.

Beliau juga bergiat aktif dalam pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat secara langsung dalam misi Bantuan Khas untuk balu Pegawai APM Negeri Kedah termasuk balu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang telah meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest, Himalaya. Beliau bersama Pasukan APM terbang ke Kota Kinabalu untuk memberi penghormatan terakhir dan memberikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

Dengan daya usaha beliau juga mewujudkan Rawa One Stop Centre sebagai pusat membangunkan bola sepak negeri. Turut menerima jemputan untuk memberi sokongan moral kepada pelapis-pelapis anak muda yang berbakat dalam bola sepak dan juga memperkenalkan klinik bola sepak antaranya Mini Football. Dalam usia menginjak 72 tahun, Mohd Azraai Khor Abdullah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai lagenda Jurulatih Bolasepak Negeri Kedah Darul Aman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com