Friday, 20, September, 2024
Utama Negeri Cubaan Lari ke Thailand? Ahli GISBH Diperiksa di Sempadan Bukit Kayu Hitam

Cubaan Lari ke Thailand? Ahli GISBH Diperiksa di Sempadan Bukit Kayu Hitam

oleh Ammar Haziq

Bukit Kayu Hitam – Tular di media sosial melalui laman Facebook PUKAS Malaysia, dakwaan mengenai beberapa ahli GISBH (Global Ikhwan Service and Business Holdings) yang dikatakan cuba melarikan diri ke Thailand bersama aset syarikat telah mencuri perhatian ramai.

Perkara ini menjadi lebih hangat apabila Muhamad Nafib Nasiruddin, anak kepada Pengerusi GISBH, dilaporkan turut berada di tempat kejadian. Situasi ini mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan aset penting syarikat serta bukti berkaitan dibawa keluar dari Malaysia.

Menurut maklumat yang diterima daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), mereka telah diberitahu bahawa kenderaan GISBH akan keluar dari Malaysia melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam (BKH) sekitar jam 3 petang dan dijangka berhenti di lokasi berhampiran Kompleks ICQS. Pasukan penguatkuasa segera bertindak atas maklumat ini dengan menjalankan siasatan, mengesan dua buah motorhome yang membawa lima individu.

Pemeriksaan awal mendapati kelima-lima individu tersebut adalah warganegara Malaysia berusia antara 29 hingga 45 tahun. Semakan rekod keluar masuk menunjukkan bahawa perjalanan terakhir mereka ke luar negara dilakukan pada 20 Ogos 2024 melalui pintu sempadan yang sama. Walaupun tiada pelanggaran undang-undang Imigresen dikesan, JIM memutuskan untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana siasatan lebih lanjut sedang dijalankan.

Setelah kedua-dua motorhome memasuki kawasan ICQS, JIM menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas individu-individu terbabit. PDRM kemudiannya mengambil alih kes ini, menahan seorang daripada mereka untuk siasatan lanjut, sementara yang lain turut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya.

Dalam perkembangan lain, kenderaan motorhome tersebut dilaporkan dibawa ke sempadan bagi tujuan memperbaharui dokumen Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) yang dikhabarkan hampir tamat tempoh. Menurut peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), setiap kenderaan perlu hadir secara fizikal untuk pemeriksaan. Pemeriksaan JPJ mendapati bahawa nombor casis dan enjin kenderaan adalah dalam keadaan baik, dan pembaharuan ICP hanya boleh dilakukan di pejabat JPJ sempadan dengan tempoh sah selama tiga bulan.

Maklumat awal menyatakan bahawa kenderaan tersebut didaftarkan atas nama individu di Qatar, bukan milik GISBH, dan menggunakan nombor pendaftaran Dubai dengan nilai RM700,000.00. Setiap motorhome mampu memuatkan enam hingga lapan orang dalam satu masa.

Setelah selesai urusan JPJ, kenderaan itu dijangka bergerak ke GISB Darul Aman, Jitra, Kedah untuk bermalam.

JIM menegaskan bahawa pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi lain, seperti PDRM, bagi memastikan keselamatan dan integriti sempadan negara sentiasa terpelihara.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah sentiasa menjaga keselamatan sempadan dan bekerjasama erat antara agensi penguatkuasa dalam memastikan keselamatan negara terjaga. Sebarang percubaan untuk melanggar undang-undang, termasuk tindakan membawa keluar aset atau individu tanpa kebenaran yang sah, pasti akan mendapat perhatian segera dari pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com