Friday, 18, October, 2024
Utama Negeri RM115,000 diperuntuk KEDA bantu mangsa banjir Kedah

RM115,000 diperuntuk KEDA bantu mangsa banjir Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah memperuntukkan sebanyak RM115,000 bagi penyediaan bakul makanan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di wilayahnya.

Perkara itu diumumkan oleh Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff, selepas beliau meninjau dan menyantuni mangsa banjir di sekitar Kampung Seberang Perak yang juga merupakan lokasi program Santuni MADANI bagi agensi ini.

Menurutnya, peruntukan tersebut melibatkan bantuan RM80,000 bagi mangsa di luar Desa KEDA, RM30,000 bagi mangsa dari kalangan staf KEDA, agensi dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta penduduk Desa KEDA manakala selebihnya ada bagi penduduk dalam kawasan program Santuni MADANI.

“Selain menyediakan bakul makanan, KEDA telah menggerakkan kembali pasukan tugasan khas (Task Force) sukarelawan iaitu Skuad Prihatin KEDA. 

“Kolej KEDA yang juga merupakan salah satu entiti dibawah KEDA juga telah menghantar seramai 15 orang pelajar dan seorang guru pengiring dalam Misi Bantuan Bencana yang bermula pada 21 hingga 23 September,” katanya.

Tambah Ismasuhaimi, Misi ini telah dilancarkan oleh Persatunan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Negeri Kedah yang bertujuan bagi melancarkan proses agihan barangan bantuan bencana kepada mangsa banjir di kawasam terjejas.

“Kami berharap bantuan bakul makanan yang diberikan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan dan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir. 

“Saya juga telah mengarahkan pegawai-pegawai KEDA di Zon untuk mengumpulkan data berkenaan rumah yang rosak atau musnah akibat banjir untuk kita bantu atau panjangkan kepada pihak berwajib.

Kolej KEDA melalui pelajarnya juga akan turun untuk membantu mangsa memperbaiki perkakasan elektrik yang rosak akibat banjir ini,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, KEDA telah menyerahkan 50 set bakul makanan kepada jawatankuasa Masjid Al-Ihsan untuk diserahkan kepada anak kariah yang terjejas.

Santuni MADANI atau Program Satu Kampung Satu Pemimpin ini telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dimana setiap pemimpin di negara ini termasuk Perdana Menteri dipertanggungjawabkan menjaga sebuah kampung bagi mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi di kampung berkenaan.

Ini merupakan satu kaedah oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosio ekonomi dan keperluan penduduk di kampung tersebut.

KEDA telah memilih Kampung Seberang Perak dalam kariah Masjid Al-Ihsan ini sebagai lokasi Santuni MADANI agensi ini.

Majis pelancaran program telah dirancang untuk diadakan melancarkan pada 30 September 2024 akan datang namun terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu ekoran bencana banjir yang melanda kawasan ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com