Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri 24 pelarian Rohingya dikhuatiri lemas di Langkawi

24 pelarian Rohingya dikhuatiri lemas di Langkawi

oleh Ammar Haziq
APMM Kedah dan Perlis ketika membuat rondaan di lokasi kejadian.

FOTO APMM

LANGKAWI- Seramai 24 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dipercayai etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat Pulau Langkawi pada lebih kurang jam 8.00 Malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub-Coordinator (MRSC) Langkawi telah mengaturgerak sebuah aset Bot PELINDUNG 2 ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada pihak Polis pada jam 10.30 malam mengenai kejadian tersebut.

Berdasarkan maklumat pihak polis, dipercayai pengadu yang juga salah seorang PATI telah terjun dari sebuah bot bersama 24 org yang lain dan hanya beliau yang terselamat berenang ke daratan.

Pengadu yang bernama Nor Hossain berumur 27 tahun telah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.

Operasi CARILAMAT pada hari ini diteruskan melibatkan dua buah aset laut dan sebuah aset udara milik Maritim Malaysia iaitu kapal KM GAGAH,bot PELINDUNG 2 Dan pesawat AW 139 yang merangkumi sektor carian seluas 109 batu nautika persegi barat perairan Pulau Langkawi.

‘Kita telah menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat yang lain, komuniti nelayan setempat dan pihak berkuasa Thailand juga akan dimaklumkan melalui Maritime Rescue Coordinator Center (MRCC) Putrajaya bagi membantu pencarian mangsa’ tambahnya mengulas lanjut.

Komuniti Maritim boleh melaporkan tentang sebarang petunjuk atau penemuan mangsa di laut atau di persisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 ataupun menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com