Friday, 18, October, 2024
Utama Sukan Masalah kewangan : Kerajaan Negeri sedia bantu, minta KDA FC hubungi KFA

Masalah kewangan : Kerajaan Negeri sedia bantu, minta KDA FC hubungi KFA

oleh Ammar Haziq

Kedah Darul Aman (KDA) FC diminta untuk menghubungi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi mencari jalan penyelesaian berkenaan kemelut kewangan yang sedang dihadapi kelab tersebut

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membantu namun perkara tersebut perlu melalui KFA terlebih dahulu.

Menurutnya yang juga Presiden KFA, beliau simpati dengan kemelut yang sedang dihadapi oleh Sang Kenari yang didakwa telah mengalami tunggakan gaji selama beberapa bulan.

“Kerajaan negeri kena salurkan menerusi KFA, KFA akan tolong, kita tak boleh buat secara langsung dengan syarikat swasta.

“Apa-apa yang boleh kita bantu, kita tengok nanti. Minta mereka hubungi KFA,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis penyampaian Tabung Wanita Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon pada Selasa.

Jelas Sanusi, maklumat yang diperolehi daripada KDA FC akan di bawa ke dalam mesyuarat KFA untuk dibicangkan sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh campur tangan dalam pengurusan KDA FC selepas pasukan berkenaan diubah status kepada sebuah kelab.

“Ia urusan syarikat swasta yang kendalikan KDA FC. Saya hanya boleh pertimbangkan untuk campur tangan atau tidak, setakat ini tiada pemain datang jumpa saya. Mereka hanya luah melalui media saja,”ujarnya lagi.

Tambahnya, beliau ada berjumpa dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar namun tidak memperincikan butiran tersebut.

“Ada lah Tan Sri hubungi dua tiga bulan lepas dan selalu pun jumpa. Tambahan pula kita masih ada komitmen lama yang ditanggung ketika terajui KFA sebelum ini, KFA masih tanggung bayaran ansuran hutang lama dengan badan berkanun.

“KFA masih bayar untuk lesen 2024 pun KFA ada bantu,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial pemain KDA FC memboikot latihan selepas tiada langkah proaktif diambil pihak pengurusan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Boikot pertama dilakukan para pemain sehingga memaksa KDA FC menggunakan tenaga pemain bawah 23 tahun untuk menentang skuad Kuala Lumpur City selepas semua pemain skuad utama tidak beraksi dan mereka tewas 5-0.

Selepas itu pemain utama dilihat turun beberapa hari sebelum aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC dan mereka berjaya mengikat pasukan lawan 2-2 di Alor Setar.

Biapun masalah gaji tunggakan belum selesai, para pemain dilihat tetap turun padang bagi persiapan perlawanan Liga Super menghadapi Terengganu FC pada 19 Oktober dan Sabah pada 29 Oktober.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com