Saturday, 19, October, 2024
Utama Negeri JHEAIK tahan 21 individu disyaki pengikut Syiah

JHEAIK tahan 21 individu disyaki pengikut Syiah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah menahan seramai 21 individu disyaki pengikut Syiah kerana dipercayai menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam serbuan di sebuah rumah di Pendang pada Selasa.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Kedah, Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin, penahanan tersebut membabitkan enam lelaki, sembilan perempuan dan enam lagi kanak-kanak berusia antara tiga hingga 77 tahun.

“Pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguatkuasa JHEAIK turut merampas kitab-kitab dan barangan yang dikaitkan dengan ajaran tersebut.

“JHEAIK telah menerima maklumat bahawa terdapat pengikut Syiah akan berkumpul bagi memperingati Maulid Imam Syiah Ke-11, Imam Hasan Al-Askari,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, pertemuan tersebut diadakandi sebuah rumah yang didakwa sebagai ketua Syiah di Kedah yang beralamat di Mukim Tobiar di Pendang.

Menurutnya serbuan tersebut telah diadakan pada jam 9.50 malam membabitkan kerjasama JHEAIK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua individu tersebut dibawa ke Pejabat Agama Daerah Pendang untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak,” ujarnya lagi.

Pada 15 Jun 2014, ajaran dan fahaman Syiah telah diwartakan bercanggah dan menyeleweng dari ajaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam khususnya di Negeri Kedah Darul Aman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com