ALOR SETAR – Polis sedang menyiasat isu pergaduhan membabitkan Pegawai Pejabat Menteri Kedah dengan orang awam di sebuah lokasi di Bandaraya Alor Setar, yang tular di media sosial pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, dua laporan daripada dua lelaki tempatan berusia 48 dan 54 tahun berhubung video berdurasi 1 minit 20 saat yang telah itu telah diterima oleh pihaknya.
Menurutnya, laporan pertama diterima pada jam 1.25 pagi Isnin manakala laporan kedua menyusul pada jam 10.58 pagi hari yang sama.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku semalam (20 Oktober) sekitar jam 11.50 malam berlaku di daerah ini.
“Berdasarkan rakaman video itu mendapati beberapa individu bertengkar mulut dengan salah seorang berada duduk di tempat bahagian pemandu sebuah kenderaan dan beberapa lagi individu termasuk individu disyaki terbabit dalam selisih faham ini berada di luar kenderaan.
“Berikutan itu, polis sudah pun membuka dua kertas siasatan berasingan bersangkut kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang mana jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua duanya, manakala laporan kedua disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua duanya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Tambah beliau, kedua-dua lelaki tersebut sudah pun dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dirakam keterangan.
Menurutnya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan sementara siasatan pihak polis dijalankan.
“Sehubungan itu, polis juga menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian ini untuk tampil memberi keterangan kepada pihak polis,” ujarnya.