Tuesday, 30, April, 2024
Utama Negeri Subjek Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan UUM, pertama kali tersenarai QSWUR by Subject 2024

Subjek Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan UUM, pertama kali tersenarai QSWUR by Subject 2024

oleh Ammar Haziq


SINTOK – Subjek Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan (English Language & Literature), Universiti Utara Malaysia (UUM) buat julung kalinya berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2024 dengan kedudukan 301-330 seperti yang diumumkan pada 10 April lalu.


Kedudukan ini sekali gus berjaya menjadikan bidang Kesenian & Kemanusiaan (Arts & Humanities) tersenarai pada kedudukan 500 terbaik dunia.


Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dalam memastikan kecemerlangan universiti.


Menurutnya, antara faktor utama yang membantu dalam penyenaraian ini juga adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) yang menyumbang kepada pertambahan rakan strategik dan konsistensi dalam bidang penerbitan.


Penarafan berkenaan juga meletakkan UUM antara 1,561 universiti terbaik dunia yang dinilai secara keseluruhan seterusnya disenaraikan dalam kalangan 330 universiti yang terpilih.


Edisi QS World University Rankings by Subject 2024 kali ini menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 55 bidang khusus yang membentuk lima bidang utama dengan komponen penilaian adalah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi, penerbitan H-Index serta jaringan kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan.


Antara subjek yang menunjukkan peningkatan adalah Sains Komputer dan Sistem Maklumat (Computer Science and Information System) di kedudukan 551-600 manakala bidang Sains Sosial dan Pengurusan (Social Sciences and Management) pula memperbaiki kedudukan di tempat ke 223 terbaik dunia.

Subjek lain yang tersenarai dan mengekalkan kedudukan dalam QSWUR by Subject 2024 termasuklah Accounting and Finance di kedudukan 151-200, Economics and Econometrics di kedudukan 201-250 dan Business and Management Studies di kedudukan 201-250.


Keputusan rasmi QS World University Rankings by Subject 2024 boleh dicapai melalui ttps://www.topuniversities.com/subject-rankings

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com