Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri Tak masuk akal cadangan muzium ajaran sesat di Langkawi

Tak masuk akal cadangan muzium ajaran sesat di Langkawi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – UMNO Kedah menyifatkan Cadangan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah supaya diwujudkan sebuah muzium ajaran sesat di pulau pelancongan berkenaan sebagai satu idea yang tidak masuk akal.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, cadangan itu juga menyimpang daripada logik dan keperluan industri pelancongan di pulau lagenda tersebut.

Menurutnya, Mohd Suhaimi sepatutnya mengutarakan keperluan rakyat dan tampil dengan idea untuk kembali memulihkan reputasi Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan yang dahulunya sangat tersohor.

“Apa perlunya muzium seperti itu, tambahan pula di Langkawi. Apa yang hendak dibanggakan dengan ajaran sesat sehingga perlukan sebuah muzium, pelancong mana yang berminat mengambil tahu tentang ajaran sesat. Mungkin satu-satunya yang diperlukan adalah muzium katak politik.

“Sebagai seorang wakil rakyat yang menerima mandat sangat kukuh sehingga menghilangkan wang deposit seorang mantan Perdana Menteri yang sangat berkuasa, tidak sepatutnya cadangan sedemikian rupa dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Shaiful Hazizy lagi, Ahli Parlimen Langkawi dari Perikatan Nasional itu perlu lebih bijaksana dan sensitif membawa isu-isu ataupun teguran membina ke dalam dewan rakyat.

Menurutnya, ini adalah kali kedua wakil rakyat berkenaan bercakap tidak bijaksana dalam Dewan Rakyat, di mana pada November tahun lepas beliau telah mengeluarkan kenyataan seksis terhadap seorang ahli parlimen wanita mewakili DAP sehingga terpaksa memohon maaf atas kenyataan berkenaan.

“UMNO Kedah mencadangkan PN membentuk satu tapisan yang lebih berkesan dalam proses memilih calon wakil rakyat.

“Seharusnya perlu dibuat saringan mental dan psikologi daripada mengelakkan kualiti Ahli Parlimen Langkawi kembali berulang,”ujarnya.

terdahulu media melaporkan Mohd Suhaimi mencadangkan Kerajaan untuk mengambil alih hotel milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Langkawi, Kedah dan menukarnya menjadi muzium ajaran sesat.

Menurutnya, inisiatif ini untuk membolehkan orang ramai menjadikannya sebagai pusat rujukan kepada pelbagai ajaran sesat di dunia.

“Saya cadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk melihat kepada hotel ini (milik GISBH yang ditinggalkan).

“Sebab saya ada masuk dalam banyak search (carian) untuk cari muzium ajaran sesat (tapi) tidak ada, yang keluar (hanya) muzim Drakula di Romania, di England dan lain-lain.

“Jadi, apa yang berlaku baru-baru ini (isu ajaran sesat) kita tidak ada rujukan. Sedangkan dalam dunia ini banyak kes ajaran sesat tanpa mengira agama apa pun,” katanya ketika Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com