Sunday, 5, May, 2024
Utama Negeri Inasis Bank Islam suntik motivasi mahasiswa UUM tingkat prestasi

Inasis Bank Islam suntik motivasi mahasiswa UUM tingkat prestasi

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam atau Bank), hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Peruntukan dan Penjenamaan Inapan Siswa (Inasis) Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada Inasis Bank Islam.

Penjenamaan baharu ini melibatkan kos penajaan bernilai RM350,000 dalam bentuk Dana Endowmen bagi tempoh 10 tahun bermula 2024 yang melibatkan lapan buah blok kolej demi manfaat 1,028 mahasiswa di inapan siswa berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, kolaborasi antara Bank Islam dan UUM telah bermula sejak tahun 2005 dengan pembukaan cawangan Bank Islam di UUM, Sintok, disusuli pengenalan kad debit-i jenama bersama UUM-Bank Islam Unidebit serta program universiti tanpa tunai pada tahun 2014.

Kini, kerjasama ini diteruskan dengan penjenamaan baharu kampus kediaman, Inasis Bank Islam.

“Kami turut memperuntukkan sejumlah RM50,000 untuk menaik taraf kemudahan asas dan blok-blok kediaman Inasis Bank Islam demi keselesaan mahasiswa. Usaha ini diharap dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar dalam keadaan yang lebih kondusif.

“Sehubungan itu, bagi melengkapi usaha UUM dalam mendidik generasi muda berilmu negara, Bank Islam akan menyediakan peluang latihan kepada graduan-graduan UUM,” tambah Mohd Muazzam.

Ujar beliau lagi, sebagai sebuah institusi perbankan Islam ulung yang ditubuhkan 40 tahun lalu, Bank Islam amat berbangga dapat berkolaborasi dengan UUM, sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka di negara ini.

“Bank Islam turut berkongsi rezeki dan kemakmuran bersama warga UUM melalui sumbangan dana zakat sebanyak RM30,000 pada tahun 2022 dan 2023. Ia telah dimanfaatkan pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian mereka di UUM,” ujarnya yang menandatangai memorandum perjanjian bersama Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Turut menyaksikan majlis menandatangi memorandum perjanjian antara Bank Islam dan UUM ialah Pengarah Deposit dan Kad Bank Islam, Mohd Noor Jab dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Sementara itu, Mohd Fo’ad berkata, jutaan terima kasih kepada Bank Islam atas kesudian menaja dan menjenamakan semula Inasis ini kepada Bank Islam.

Menurutnya, kompleks kediaman pelajar tersebut merupakan kompleks kelima yang dibina di kampus UUM pada awal tahun 1991 dan mampu menyediakan kediaman untuk lebih 1,000 pelajar.

Beliau juga menyatakan harapan supaya jalinan kerjasama ini akan dapat membantu kedua-dua pihak dalam meningkatkan percambahan ilmu, khususnya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, dalam kalangan pelajar UUM.

Dalam mengukuhkan hubungan baik sedia ada, Bank Islam dan UUM akan menggunakan peluang yang wujud bagi memacu kapasiti ekosistem keusahawan sosial di UUM termasuk penganjuran program-program seperti Impak Rangkuman Kewangan, Inkubasi Usahawan dan Celik Kewangan, kerjaya dan peluang latihan industri di kampus UUM.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com