Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri Etiqa Takaful, IAM bantu ringankan beban 25 nelayan

Etiqa Takaful, IAM bantu ringankan beban 25 nelayan

oleh Ammar Haziq

KOTA SETAR – Nasib nelayan yang memperolehi pendapatan yang tidak tetap dan bergantung kepada hasil tangkapan ikan mendapat perhatian Etiqa Takaful dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) menyampaikan bantuan pukat kepada 25 nelayan terpilih di Jeti Nelayan LKIM, Kuala Tebengau, di sini.

Program bersama komuniti anjuran IAM ini turut disertai oleh sukarelawan IAM dan juga kakitangan Etiqa dari wilayah Utara ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat kampung khususnya komuniti nelayan dan golongan yang kurang berkemampuan.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya berterima kasih kepada Etiqa Takaful yang memberi kepercayaan kepada mereka dan juga prihatin terhadap usaha-usaha kemanusian yang telah dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan itu.

Menurutnya, IAM memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahu pun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

‘Kami akan buat yang terbaik dalam menyalurkan bantuan tersebut dan hanya mereka yang benar-benar layak saja yang akan menerima manfaat daripada program ini tanpa mengira latar belakang politik mereka.

“Terima kasih kami ucapkan kepada Etiqa Takaful kerana telah memberi peluang kepada kami untuk mengagihkan sumbangan zakat tersebut,” katanya.

Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Perniagaan Korporat Etiqa Wilayah Utara, Hanif Abidin.

Mengulas lanjut, Zawahir berkata program Bantuan Pukat Untuk Nelayan ini telah memberi manfaat kepada 100 nelayan terpilih di empat buah negeri iaitu Johor, Kelantan, Pahang dan Kedah.

Di antara barangan set pukat yang diberikan adalah seperti pelampung dan batu timah berserta tali termasuk peralatan lain seperti jaket keselamatan serta tong ikan turut diagihkan kepada nelayan.

Beliau juga turut menyeru supaya lebih banyak lagi syarikat korporat turut mencontohi usaha Etiqa Takaful ini dalam menjayakan misi-misi kemanusiaan dan kebajikan kelolaan Islamic Aid Malaysia (IAM).

Jelas Zawahir, realitinya pendapatan komuniti Nelayan ini tidaklah seberapa, umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Menurutnya, hasil tangkapan bergantung pada keadaan cuaca, adakalanya banyak dan adakalanya hasilnya amat kurang dan kadangkala terpaksa pulang dengan tangan kosong.

“Keadaan lebih sulit apabila rata-rata mereka menggunakan bot yang telah uzur dan pukat yang digunakannya telah banyak yang rosak dan koyak,” ujarnya.

Sementara itu, seorang nelayan, Muniz Ali, 49 berkata, sumbangan berkenaan secara tidak langsung dapat membantu meringan beban mereka kerana hasil tangkapan ikan yang tidak sebeberapa perlu digunakan secara berhemah untuk kegunaan keluarganya.

Menurutnya, disebabkan perkara itu, mereka perlu mengumpul wang untuk mengantikan pukat yang rosak namun adakalanya mengambil masa lama sebelum dapat membeli pukat baharu.

“Terima kasih kepada Etiqa Takaful dan IAM atas sumbangan yang diberikan. Alhamdulilah sumbangan pukat ini meringankan beban kami para nelayan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com