Wednesday, 22, May, 2024
Utama Negeri Maktab Mahmud nafi dakwaan wujud kartel politik, laporan polis dibuat

Maktab Mahmud nafi dakwaan wujud kartel politik, laporan polis dibuat

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Lembaga Maktab Mahmud menafikan sekeras – kerasnya tuduhan yang ditularkan melalui video menerusi beberapa platfom media sosial sejak 25 April lalu, berkenaan dua video bertajuk “Kartel politik Maktab Mahmud Sakau Projek Belasan Juta?” dan “Lembaga Maktab Mahmud Problem”.

Pengerusinya, Mohd Azam Abd Samat berkata, laporan polis telah dibuat pada 28 April bagi menafikan segala tuduhan yang ditularkan dan tindakan undang – undang akan diambil kepada pihak yang telah memuat naik dan menyebar video tersebut.

Menurutnya, untuk makluman, tiada kewujudan kartel politik seperti yang ditularkan dalam video pertama dan isu pertukaran kakitangan yang dibuat oleh pihak pengurusan Lembaga Maktab Mahmud adalah demi kepentingan jabatan.

“Selain itu, pihak Lembaga Maktab Mahmud menafikan tuduhan berkaitan kes SPRM yang dinyatakan di dalam video tersebut.

“Manakala, video kedua berkaitan isu pertengkaran antara kakitangan Lembaga Maktab Mahmud yang telah tular sejak 26 April yang lalu merupakan video lama, yang berlaku pada 05 Oktober 2023 telah tular pada tahun lepas di mana pihak pengurusan Lembaga Maktab Mahmud telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, video yang ditularkan semula itu telah disunting dan diubah suai daripada video sebenar serta tiada kakitangan yang diturunkan pangkat seperti yang dinyatakan.

“Pihak Lembaga Maktab Mahmud memandang serius terhadap penularan video-video tersebut yang mencalarkan reputasi cemerlang Lembaga Maktab Mahmud.

“Tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil oleh pihak Pengurusan Lembaga Maktab Mahmud selepas ini bagi memelihara nama baik institusi ini,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com