Wednesday, 13, November, 2024
Utama Negeri Masalah air 1,000 penduduk sejak 20 tahun lalu selesai

Masalah air 1,000 penduduk sejak 20 tahun lalu selesai

oleh Ammar Haziq

BALING – Masalah kekurangan bekalan air bersih yang dihadapi lebih 1,000 penduduk di sekitar kawasan Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong, di sini sejak 20 tahun lalu dijangka berakhir selepas Projek Bekalan Air Bersih Maybank Islamic siap dilaksanakan sepenuhnya.

Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah, berkata, projek komuniti di bawah Program Tanggungjawab Zakat Korporat Maybank Islamic itu bertujuan membantu meringankan beban kesusahan penduduk setempat bagi mendapatkan bekalan air bersih secara berterusan sepanjang tahun.

Menurutnya, projek yang bermula sejak awal bulan September lalu dibiayai sepenuhnya oleh Maybank Islamic dan dilaksanakan dengan kerjasama IAM melalui program `Water For Tomorrow 2024’.

“Kami berbesar hati kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan pihak Maybank Islamic untuk melaksanakan satu projek yang amat bermakna dan bermanfaat kepada penduduk di sini.

“Projek ini merupakan bukti keprihatinan Maybank Islamic dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Saya yakin usaha yang dilakukan oleh pihak Maybank Islamic amat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk di sini.”

“Alhamdulilah, kini penduduk kampung dapat menarik nafas lega kerana mereka dapat menikmati bekalan air yang bersih secara berterusan sepanjang tahun. Uniknya projek istimewa ini telah dilaksanakan secara bergotong-royong dan mengikut sistem giliran bagi tujuan melibatkan penyertaan semua penduduk di Kg. Seri Ketengga,” katanya.

Jelasnya, melalui projek air bersih ini, sebuah tandak air (water catchment) telah dibina di kawasan bukit berhampiran kampung tersebut bagi tujuan menakung air sungai sebelum ianya di salurkan ke Rumah Pam.

Menurutnya, projek ini menggunakan sistem graviti bagi tujuan penyaluran air dari Tandak Air melalui Polypipe dari Muka Sauk (Intake ) ke Rumah Pam.

“Air tersebut akan ditapis dan dirawat terlebih dahulu menggunakan Sistem Penapis Air Membran Sintetik Berskala Tinggi dan kemudiannya disimpan di dalam 2 buah tangki simpanan berkapasiti 3,000 gelen yang disediakan.

“Air terawat kemudiannya disalurkan terus ke paip utama untuk kegunaan harian penduduk kampung,” ujarnya.

Tambah Zawahir, projek ini turut melibatkan penyertaan penduduk kampung dan sukarelawan IAM untuk sama-sama bergotong royong bagi menambah baik sistem perpaipan (piping) dari sumber air ke tangki penyimpanan.

Menurutnya lagi, selain rumah penduduk, air terawat ini juga dapat digunakan untuk kegunaan Masjid, Sekolah Agama dan juga untuk aktiviti pertanian.

“Kaedah ‘Sistem Air Graviti’ yang dibangunkan melalui projek ini lebih menjimatkan kos kerana tidak menggunakan tenaga elektrik untuk mengepam air ke tangki simpanan,” jelasnya.

Majlis perasmian dan penyerahan projek ini telah disempurnakan Ketua Perbankan Pengguna Maybank Wilayah Penang, Kedah dan Perlis, Shukor Mohd Nor dan turut hadir Pengurus Maybank Cawangan Baling, Ahmad Daud Mohd Kassim.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com