ALOR SETAR – Kumpulan DSAT Group akan mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor sebanyak RM1 bilion.
Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek, mengumumkan perkara itu melalui hantaran di Facebook pada Isnin.
Tindakan tersebut diambil berikutan kenyataan Muhammad Sanusi pada 7 November lalu semasa sidang media di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
“DSAT Group memutuskan akan saman MB Kedah RM1 bilion atas kenyataannya pada 7 November 2024 di MPSPK. Jumpa di mahkamah,” tulisnya.
Dalam sidang media tersebut, Muhammad Sanusimenegaskan bahawa syarikat yang berminat mengambil alih pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC mestilah mempunyai kemampuan yang cukup.
Beliau yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), menekankan walaupun urusan pemilikan kelab itu tidak berkaitan dengan kerajaan negeri, beliau tetap mengingatkan agar tidak berlaku sebarang penipuan.
“Kalau ada kemampuan, silakan. Kita harap dan berdoa dia ada kemampuan. Jangan ‘scam’. Belum apa-apa lagi sudah buat kenyataan macam-macam.
“Macam scammer, tak bagus. Dia tak ada sangkut paut dengan kita (kerajaan negeri). Dia tak berurusan dengan kita dan dia tak perlu kebenaran saya atau Exco Sukan… perlu jumpa pihak peguam KDA,” katanya.
Sebelum ini, Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, mempelawa mana-mana pihak yang berminat memiliki pasukan itu untuk menghantar surat tunjuk minat atau surat tawaran rasmi.
Azizul menyambut pelawaan tersebut dengan mengutuskan surat rasmi melalui anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC), pada Ahad lalu mengenai minat mendapatkan pasukan bola sepak tersebut.