GOMBAK – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan masuk campur berhubung cadangan untuk menghentikan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada kursus universiti yang mempunyai kadar bayaran balik yang rendah.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada PTPTN untuk menentukan langkah terbaik dalam membiayai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di masa hadapan.
Menurtnya, KPT tidak boleh campur tangan dalam urusan ini kerana setiap keputusan dan pandangan telah dibincangkan dalam mesyuarat oleh PTPTN.
Walaubagaimanapun, beliau memberikan jaminan bahawa langkah-langkah yang diambil oleh PTPTN adalah berdasarkan perkiraan yang teliti dan penuh pertimbangan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai cadangan untuk menghentikan pembiayaan PTPTN kepada kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik yang rendah, kerana PTPTN akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mesyuarat,” katanya pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-40, pada Ahad.
Zambry menekankan bahawa semua pihak perlu menahan diri daripada membuat kesimpulan awal kerana PTPTN mempertimbangkan semua aspek sebelum membuat keputusan.
Beliau juga menyatakan bahawa graduan yang tidak pernah membayar pinjaman PTPTN perlu diberikan perhatian utama.
“Saya fikir itu yang perlu diberi penekanan, bukan mereka yang membayar tetapi kemudian tidak mampu bayar, mungkin kerana sebab-sebab tertentu seperti tidak bekerja lagi atau dibuang kerja. Ini semua termasuk dalam perkiraan PTPTN sebelum mengambil tindakan,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa PTPTN menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak, terutamanya berkaitan sekatan ke luar negara.
“Mana yang baik kita ambil, tetapi kita tidak mahu menjadi institusi yang kejam dan tidak berperasaan, membuat tindakan tanpa mengambil kira keadaan mereka,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa cadangan untuk menghentikan pembiayaan PTPTN kepada kursus universiti yang mempunyai kadar bayaran balik yang rendah tidak akan menggalakkan peminjam untuk membuat bayaran balik.