Thursday, 21, November, 2024
Utama Sukan Arif Aiman, Tommy Mawat digantung tiga perlawanan akibat bertumbuk

Arif Aiman, Tommy Mawat digantung tiga perlawanan akibat bertumbuk

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi, dan pemain Perak FC, Tommy Mawat, masing-masing digantung tiga perlawanan selepas terlibat dalam insiden panas semasa perlawanan Liga Super 2024-2025 pada 10 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu berkata, Arif Aiman didapati bersalah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana menumbuk muka Tommy.

Menurutnya, pemain JDT itu digantung selama tiga perlawanan akibat tindakan tersebut.

Hukuman ini melibatkan perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November, serta perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember.

“Arif Aiman diberi amaran keras. Jika dia mengulangi kesalahan yang sama, hukuman lebih berat akan dikenakan. Keputusan ini boleh dirayu,” kata Baljit Singh dalam kenyataannya pada Selasa lalu.

Tommy Mawat juga menerima hukuman kerana menanduk kepala dan mencengkam leher Arif Aiman.

Penggantungan tiga perlawanan bagi pemain Perak FC ini melibatkan perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November, serta perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember.

“Tommy juga diberi amaran keras. Jika dia mengulangi kesalahan yang sama, hukuman lebih berat akan dikenakan. Keputusan ini boleh dirayu,” tambah Baljit Singh.

Beliau turut menjelaskan bahawa tarikh-tarikh penggantungan yang dinyatakan adalah tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com