Wednesday, 1, May, 2024
Utama Sukan Kedah selesaikan tunggakan gaji 2023, kekal Liga Super

Kedah selesaikan tunggakan gaji 2023, kekal Liga Super

oleh Ammar Haziq

Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam satu kenyataan mengesahkan berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023 meliputi semua pemain dan pegawai Pasukan Liga Super dan KDA FC B (Piala MFL Bawah 23 Tahun).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Shamsudin berkata, tunggakan gaji tersebut juga membabitkan KDA FC C (Piala Presiden Bawah 20 Tahun), KDA FC D (Piala Belia Bawah 18 Tahun) serta staf pentadbiran kelab.

Menurutnya, tunggakan tersebut berjaya dibayar pada Rabu iaitu sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) pada 20 April ini.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan kelab telah berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak dari hujung tahun lepas. Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tidak putus-putus mencipta ruang dan peluang serta mencari penyelesaian terbaik untuk keluar dari belenggu masalah yang dihadapi kelab.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Dr Mohd Daud serta Ahli Lembaga Pengarah yang turut bersama-sama membantu dan tidak lupa juga kepada semua penyokong setia dan peminat Sang Kenari yang mengambil peluang disediakan untuk menyumbang sedikit sebanyak kepada usaha yang dilancarkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Shahrul, kejayaan membayar semua tunggakan gaji musim lalu menyaksikan kelab itu telah memenuhi syarat n seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya, beliau positif dengan perkembangan situasi terkini dan KDA FC akan menumpukan pelaksanaan hala tuju dirancang untuk musim 2024-2025 serta musim-musim yang mendatang dengan lebih tersusun, efektif dan jitu mengikut kerangka yang lebih efisyen.

“Bagi musim ini, KDA FC akan memulakan saingan sepakmula kejohanan tempatan bermula dengan pasukan KDA FC C memulakan saingan Piala Presiden pada 21 April ini diikuti KDA FC D pada 4 Mei dalam saingan Piala Belia.

“Manakala pasukan Liga Super akan beraksi pada 11 Mei ini menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. KDA FC B yang merupakan pasukan Bawah 23 tahun akan beraksi dalam kejohanan Piala MFL bermula 21 Mei ini,” ujar beliau.

Tambahnya, KDA FC percaya sebagai sebuah kelab yang diswastakan sepenuhnya selepas proses pemisahan Persatuan Bola Sepak (Football Association) ke Kelab Bola Sepak (Football Club) pada penghujung tahun 2020 hingga kini, kestabilan dan kelestarian kewangan adalah perkara yang amat penting.

Jelasnya, perkara itu diakui mencabar dalam meneruskan kelangsungan operasi kelab di kancah pertandingan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa dan KDA FC memerlukan dana kewangan yang kukuh serta stabil.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com